Mari Berzikir dan Berfikir


تَفَكَّرُوْا فِي خَلْقِ الله وَلاَ تَفَكَّرُوْا فِي اللهِ

Berfikirlah kamu tentang ciptaan Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang Zat Allah. [Riwayat Abu Nu’aim]

PROFIL HADIS

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim daripada Ibnu Abbas.  Menurut Syaikh Nasiruddin Al-Bani dalam kitab Sahihul Jami’ish Shaghir (2976)  dan Silsilahtu Ahadis Ash-Sahihah (1788) hadis ini berdarjat hasan.


SYARAH HADIS

Hadis ini membicarakan sifat unik manusia yang membezakannya dengan makhluk lain, iaitu keupayaan berfikir! Hadis ini secara khusus membicarakan tentang keunikan dan kehebatan orang Islam yang (sepatutnya) sentiasa berfikir atau tafakur. Berbekal kemampuan berfikir yang dianugerahkan oleh Allah, manusia berjaya mencipta kemajuan, kemanfaatan, dan kebaikan. Sebaliknya ramai juga manusia yang berfikir yang merosakkan atau befikir lalu merosakkan dan tidak kurang pula yang berfikir hingga menjadi sesat dan menyesatkan.

Hadis Rasulullah SAW ini memberikan formula untuk menyelesaikan dilemma berfikir melalui pendekatan berfikir seimbang yang akan membawa manusia Mukmin kepada kemajuan, kemanfaatan, kebaikan, ketaatan, keimanan, dan ketundukan kepada Allah Ta’ala. Bagi mencapai tujuan itu, Rasulullah SAW memberi formula agar kita tidak salah dalam berfikir. Rasulullah SAW memerintahkan kita untuk berfikir mengenai ciptaan Allah SWT, dan melarang kita berfikir tentang Zat Allah kerana kita tidak akan mampu menjangkaunya, malah boleh menyesatkan dan membinasakan kita.


Keutamaan Berfikir (Fadhāilut Tafakkuri)

Sekurang-kurangnya ada empat keutamaan berfikir, iaitu:

1.     Allah memuji orang-orang yang sentiasa berfikir dan berzikir dalam setiap hal dan keadaan:

    إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَوَتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَءَايَتٍۢ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَبِ

    Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; [Ali-Imran: 190]
   
    ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَوَتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَطِلًۭا سُبْحَنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

    (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. [Ali Imran: 191]

    Sa’id Hawa dalam Al-Mustakhlash Fi Tazkiyatil Anfus berkata,

“Daripada ayat ini kita memahami bahawa kemampuan akal tidak akan ada pada diri manusia kecuali dengan adanya paduan antara zikir dan fikir. Apabila kita mengetahui bahawa kesempurnaan akal bererti kesempurnaan seorang manusia, maka kita boleh memahami peranan penting zikir dan fikir dalam menyucikan jiwa manusia. Oleh kerana itu, para ahli suluk yang berupaya mendekatkan diri kepada Allah sentiasa memadukan antara zikir dan fikir dalam awal perjalanannya menuju Allah. Sebagai contoh, semasa berfikir tentang berbagai hal, mereka mengiringinya dengan tasbih, tahmid, takbir, dan tahlil.”

2.     Berfikir adalah amal yang terbaik dan boleh mendepani ibadah. Ada atsar (kata-kata sahabat),

    حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ،عَنِ الأَعْمَشِ،عَنْ عَمْرِو بْنِ مُرَّةَ ، عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ،عَنْ أُمِّ الدَّرْدَاءِ،عَنِ أَبِي الدَّرْدَاءِ, قَالَ: تَفَكُّرُ سَاعَةٍ خَيْرٌ مِنْ قِيَامِ لَيْلَةٍ

Telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah kepada Al-A’mash, daripada ‘Amr bin Murrah daripada Salim bin AbuJa’di, daripada Ummu Ad-Darda’, kepada Abi Darda’ berkata: “Berfikir sesaat lebih utama daripada ibadah setahun.”

    Kenapa begitu? Kerana berfikir boleh memberi manfaat yang tidak boleh dihasilkan daripada suatu ibadah yang dilakukan selama setahun. Abu Darda’ seorang sahabat yang terkenal sangat a’bid pernah ditanya tentang amalan yang paling utama, ia menjawab, “berfikir.” Dengan berfikir seseorang boleh memahami sesuatu hingga hakikat, dan mengerti manfaat daripada yang mudarat. Dengan berfikir, kita boleh menjangka kemungkinan bahaya hawa nafsu yang tersembunyi dalam diri kita, mengetahui tipu daya syaitan, dan menyedari pujuk rayu duniawi.

3.     Berfikir boleh membawa kita kepada kemuliaan dunia dan akhirat. Ka’ab bin Malik berkata,

    “Barang siapa menghendaki kemuliaan akhirat, maka hendaknyalah ia memperbanyak tafakur.”

    Ibnu Hatim menambah,

    “Dengan merenungi perumpamaan, bertambahlah ilmu pengetahuan; dengan mengingati nikmat Allah, bertambahlah kecintaan kepada-Nya; dan dengan berfikir, bertambahlah ketakwaan kepada-Nya.”
    Imam Syafi’i dalam Mahu’idhatul Mu’minin menegaskan,

    “Milikilah kepandaian bercakap dengan banyak berdiam, dan milikilah kepandaian dalam mengambil keputusan dengan berfikir.”

Tepat sekali kata-kata Imam Syafi’i itu kerana berdiam adalah suatu proses berfikir untuk bercakap secara yang konstruktif, suai manfaat dan mencapai maksud percakapan. Berfikir juga adalah proses membulatkan tekad sebelum membuat sesuatu keputusan.

4.     Berfikir adalah pangkal segala kebaikan. Ibnul Qayyim dalam Miftah Daris Sa’adah berkata,

    “Berfikir akan membuahkan pengetahuan, pengetahuan akan melahirkan perubahan keadaan hati, perubahan keadaan hati akan melahirkan kehendak, kehendak akan melahirkan amal perbuatan. Jadi, berfikir adalah asas dan kunci semua kebaikan. Hal ini boleh menunjukkan kepadamu keutamaan dan kemuliaan berfikir, dan bahawasanya berfikir termasuk amalan hati yang paling utama dan bermanfaat sehingga  dikatakan, ‘Berfikir sesaat lebih baik daripada ibadah setahun’. Berfikir boleh mengubah daripada kelalaian menuju kesedaran, daripada hal-hal yang dibenci Allah menuju hal-hal yang dicintai-Nya, daripada cita-cita dan keserakahan menuju zuhud dan qana’ah, daripada penjara dunia menuju keluasan akhirat, daripada kesempitan kejahilan menuju bentangan ilmu pengetahuan, daripada penyakit syahwat dan cinta kepada dunia menuju kesembuhan rohani dan pendekatan diri kepada Allah, daripada bencana buta, tuli, dan bisu menuju nikmat penglihatan, pendengaran, dan pemahaman tentang Allah, dan daripada berbagai penyakit syubhat menuju keyakinan yang menyejukkan hati dan keimanan yang mententeramkan.”

Buah Berfikir (Natāijut Tafakkuri)

1.     Kita akan mengetahui hikmah dan tujuan penciptaan semua makhluk di langit dan bumi yang akan menambah keimanan dan rasa syukur kita.

أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِم ۗ مَّا خَلَقَ ٱللَّهُ ٱلسَّمَوَتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَأَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى ۗ وَإِنَّ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلنَّاسِ بِلِقَآئِ رَبِّهِمْ لَكَفِرُونَ

Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya. [Ar-Rūm: 8]

2.     Kita boleh membezakan mana yang bermanfaat yang mendorong kita bersemangat untuk memperolehnya, dan mana pula yang mudarat supaya kita dapat berusaha menghindarinya.

ئ يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌۭ كَبِيرٌۭ وَمَنَفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ ٱلْعَفْوَ ۗ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْءَايَتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir. [Al-Baqarah: 219]

3.     Kita boleh memantapkan keyakinan mengenai sesuatu, dan mengelakkan diri daripada sikap terikut-ikut dengan berbagai pandangan yang tidak Islami.

قُلْ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَحِدَةٍۖ أَن تَقُومُوا۟ لِلَّهِ مَثْنَىٰ وَفُرَدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا۟ۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍۚ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌۭ لَّكُم بَيْنَ يَدَىْ عَذَابٍۢ شَدِيدٍۢ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat). [Saba’: 46]

4.     Kita boleh memperhatikan hak-hak diri kita untuk mendapatkan kebaikan, sehingga tidak hanya berusaha memperbaiki orang lain dan lupa pada diri sendiri.

أَتَأْمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ ٱلْكِتَبَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan dirimu (kewajipan) sendiri, pada hal kamu membaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berfikir? [Al-Baqarah: 44]

5.     Kita boleh memahami bahawa akhirat itu lebih utama, dan dunia hanya cara untuk membangun kebahagiaan akhirat.

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًۭا نُّوحِىٓ إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰٓ ۗ أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۗ وَلَدَارُ ٱلْءَاخِرَةِ خَيْرٌۭ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Dan tiadalah Kami mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki daripada penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya? [Yusuf: 109]

وَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَىْءٍۢ فَمَتَعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتُهَا ۚ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيْرٌۭ وَأَبْقَىٰٓ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya? [Al-Qasas: 60].

6.     Kita boleh belajar daripada sejarah kebinasaan umat terdahulu dan menghindari daripada menimpa kita.

أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ دَمَّرَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ ۖ وَلِلْكَفِرِينَ أَمْثَلُهَا

Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu; dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu. [Muhammad: 10]

7.     Boleh menghindari daripada siksa neraka kerana bila memahami dan mengamalkan ajaran agama dan meninggalkan kemaksiatan dan dosa-dosa, terutama syirik.

‏وَقَالُوا۟ لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصْحَبِ ٱلسَّعِيرِ

Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka". (Al-Mulk: 10)

‏أُفٍّۢ لَّكُمْ وَلِمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ ۖ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

"Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?" (Al-Anbiyaa’: 67)


Batasan Berfikir (Dhawabithut Tafakkuri)

Imam Al-Ghazali berkata,

“Ketahuilah bahawa semua yang ada di alam semesta, selain Allah, adalah ciptaan Allah Ta’ala. Setiap atom dan partikel, memiliki keajaiban dan keunikan yang menunjukkan kebijaksanaan, kekuasaan, dan keagungan Allah Ta’ala. Sehingga mustahil untuk menyenaraikannya, kerana seandainya lautan adalah tinta untuk menuliskan semua itu nescaya akan habis sebelum menuliskan sepersepuluhnya saja daripada semua ciptaan dan karya-Nya.”

Jadi, berfikir adalah ibadah yang bebas dan terlepas daripada ikatan segala sesuatu kecuali satu ikatan saja, iaitu berfikir mengenai Zat Allah.

Pada masa berfikir sebenarnya seorang Muslim sedang berusaha meningkatkan ketaatan, menghentikan kemaksiatan, menghancurkan sifat-sifat yang merosakkan dan mengembangkan sifat-sifat konstruktif yang ada dalam dirinya. Bejaya atau tidaknya perkara itu dicapai dipengaruhi banyak faktor, di antaranya: kedalaman ilmu, penumpuan fikiran, keadaan emosi dan rasional, faktor lingkungan, tahap pengetahuan tentang objek berfikir, teladan dan pergaulan, inti pati sesuatu, dan faktor kebiasaan.


Kenapa Kita Dilarang Berfikir Tentang Zat Allah?

1.     Kita tidak akan sanggup menjangkau kadar keagunganNya.

Allah SWT tidak terikat dengan ruang dan waktu. Abdullah bin Mas’ud berkata,

“Bagi Tuhanmu tidak ada malam, tidak pula siang. Cahaya seluruh langit dan bumi berasal daripada cahaya wajah-Nya, dan Dia-lah cahaya langit dan bumi. Pada hari kiamat, ketika Allah datang untuk memberikan keputusan bumi akan tenang oleh cahaya-Nya.

فَاطِرُ ٱلسَّمَوَتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَجًۭا وَمِنَ ٱلْأَنْعَمِ أَزْوَجًۭا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan daripada jenis kamu sendiri, dan menjadikan daripada jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. [Asy-Syūrā: 11]

لَّا تُدْرِكُهُ ٱلْأَبْصَرُ وَهُوَ يُدْرِكُ ٱلْأَبْصَرَ ۖ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلْخَبِيرُ

Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia-lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya. [Al-An’am: 103]

Ibnu Abbas berkata,

“Zat Allah terhalang oleh tirai sifat-sifat-Nya, dan sifat-sifat-Nya terhalang oleh tirai ciptaan-ciptaan-Nya. Bagai mana kamu boleh membayangkan keindahan Zat yang ditutupi dengan sifat-sifat kesempurnaan dan diselimuti oleh sifat-sifat keagungan dan kebesaran.”

2.     Kita akan terjerumus dalam kesesatan dan kebinasan.

Memperlakukan sifat Khalik terhadap makhluk adalah sikap berlebihan (ghulluw) sebagai mana yang dilakukan kaum Rafidhah terhadap Ali RA. Sebaliknya, memperlakukan sifat makhluk terhadap Khalik adalah sikap taqshir seperti yang dilakukan oleh Musyabihhah yang mengatakan Allah memiliki wajah yang sama dengan makhluk, kaki yang sama dengan kaki makhluk, dsb

0 komentar:

Posting Komentar